Solarvest Raih Kontrak RM320 Juta Projek Solar Terapung di Kampar
2 mins read

Solarvest Raih Kontrak RM320 Juta Projek Solar Terapung di Kampar

KUALA LUMPUR – Solarvest Holdings Berhad mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga bersih negara selepas berjaya meraih kontrak bernilai RM320 juta bagi melaksanakan kerja Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) projek solar terapung berkapasiti 99.99MWac di Kampar, Perak, di bawah program Large Scale Solar 5 (LSS5).

Kontrak itu dianugerahkan oleh Wawasan Demi Sdn. Bhd., subsidiari milik 63 peratus AIZO Group Berhad.

Projek berkenaan dijadualkan mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada 30 Oktober 2027, dan sebaik beroperasi sepenuhnya, ia dijangka mampu menjana 205,709MW tenaga bersih setahun serta mengurangkan sehingga 159,219 tan pelepasan karbon dioksida.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Solarvest, Leon Liew Chee Ing berkata pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan untuk melaksanakan projek berimpak tinggi itu yang memerlukan kepakaran teknikal mendalam.

“Penyampaian projek solar terapung pada skala ini memerlukan reka bentuk lestari, kejuruteraan pintar dan pengurusan operasi yang mantap. Kami komited menyiapkan projek ini dengan selamat, cekap dan pada standard tertinggi, sekali gus menyumbang kepada aspirasi tenaga bersih Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Kontrak baharu ini turut menandakan satu lagi pencapaian penting buat Solarvest, yang kini mengukuhkan buku pesanan kepada RM1.6 bilion susulan pengumuman keputusan kewangan suku kedua tahun kewangan 2026.

Kejayaan ini katanya mencerminkan keyakinan berterusan pasaran terhadap kemampuan Solarvest sebagai rakan tenaga boleh baharu paling dipercayai di Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif AIZO Group Berhad, Dato’ Abang Abdillah Izzarim berkata, kerjasama dengan Solarvest mengukuhkan komitmen syarikat dalam mempercepat penggunaan tenaga lestari di negara ini.

“Penganugerahan kontrak EPCC ini merupakan langkah penting dalam merealisasikan projek solar berskala besar kedua AIZO di Semenanjung Malaysia, selain membuka landasan kepada peluasan ke pasaran baharu termasuk inisiatif tenaga boleh baharu yang dirancang di Sarawak,” katanya.

AIZO Group Berhad turut mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hari ini, dengan semua resolusi diluluskan.

Pihak syarikat merakamkan penghargaan kepada para pemegang saham atas kepercayaan dan sokongan terhadap hala tuju strategik kumpulan dalam memacu pertumbuhan tenaga boleh baharu negara.

Mengenai Solarvest Holdings Berhad
Solarvest merupakan peneraju tenaga bersih dengan kehadiran di lapan negara seluruh Asia Pasifik. Ditubuhkan di Malaysia, syarikat ini bermula sebagai penyedia penyelesaian lengkap sistem fotovoltaik solar untuk sektor kediaman, komersial, industri dan ladang solar utiliti.

Kini, Solarvest memiliki portfolio tenaga boleh baharu melebihi 3,200MW (sedang berjalan dan siap dibina) serta meneroka pelbagai teknologi tenaga hijau lain termasuk hidrogen hijau, penyimpanan bateri, mobiliti rendah karbon, kecekapan tenaga dan sijil tenaga boleh diperbaharui.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *