Madani Future Leaders 500: MRC yakin lahirkan pemimpin muda berwibawa
2 mins read

Madani Future Leaders 500: MRC yakin lahirkan pemimpin muda berwibawa

KUALA LUMPUR – Madani Research Centre (MRC) yakin mampu melahirkan generasi muda berjiwa kepimpinan melalui pelaksanaan program Madani Future Leaders 500, yang memberi latihan dan pendedahan kepada 500 pelajar terbaik dari seluruh negara.

Program berimpak nasional itu bakal menjadi platform strategik untuk membentuk barisan pemimpin masa depan yang berwawasan, beretika dan berpandangan strategik melalui bimbingan langsung daripada tokoh korporat, usahawan serta pemimpin industri.

Usahawan dan personaliti terkenal, Muhammad Asyraf Khalid yang baru dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MRC berkata, beliau yakin potensi besar anak muda hari ini mampu diterjemahkan menjadi kekuatan negara sekiranya mereka diberikan peluang dan panduan yang betul.

Asyraf yakin potensi anak muda mampu diterjemahkan menjadi kekuatan negara sekiranya diberi peluang dan panduan sewajarnya.

“Setiap perubahan besar bermula dengan peluang. Generasi muda kita tidak kurang bakat, cuma mereka perlukan ruang dan bimbingan yang sesuai untuk berkembang,” katanya dalam satu kenyataan selepas majlis pelantikannya, baru-baru ini.

Menurut Asyraf, peserta program akan melalui siri bimbingan intensif yang merangkumi kemahiran kepimpinan, komunikasi, pemikiran strategik serta nilai Madani yang menjadi teras pembangunan insan.

“Saya mahu melihat lahirnya generasi pemimpin yang bukan sekadar bijak, tetapi berjiwa besar, berempati dan memahami tanggungjawab membina negara,” ujarnya.

Pelantikan Asyraf diumumkan oleh Pengerusi MRC, Dr. Madhi Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Azmi Mat Nayan, dengan tanggungjawab menguruskan Bahagian Penjenamaan dan Penglibatan Awam di pusat penyelidikan itu.

Selain memfokus kepada kepimpinan belia, Asyraf turut menzahirkan komitmen terhadap perjuangan hak dan penerimaan kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk penghidap autisme dan ADHD, menerusi Inisiatif Madani untuk Kanak-Kanak Keperluan Khas di bawah MRC.

Beliau berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran awam, penambahbaikan dasar kerajaan dan pembangunan sokongan komuniti bagi memastikan kanak-kanak berkeperluan khas lebih diterima dalam sistem pendidikan, pekerjaan dan kehidupan seharian.

“Kita perlu ubah cara masyarakat melihat mereka kerana setiap anak mempunyai potensi untuk membina masa depan, tidak kira siapa mereka,” tambahnya.

MRC merupakan sebuah badan penyelidikan dan dasar yang menyokong pelaksanaan gagasan Malaysia Madani dengan fokus kepada penyelidikan dasar pembangunan masyarakat, komunikasi nilai nasional serta pembentukan pemimpin berteraskan nilai ihsan, tanggungjawab dan kesejahteraan sejagat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *