Tenera Hotel & Suites Rai Anugerah Hospitaliti Mesra Muslim Terunggul
BANDAR BARU BANGI – Tenera Hotel & Suites terus mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju hospitaliti mesra Muslim apabila menerima anugerah “Most Preferred Brand — Outstanding Muslim-Friendly Hospitality & Event Space” sempena The BrandLaureate 20th Anniversary Special Limited Edition – BestBrands Awards 2025 yang berlangsung di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Anugerah berprestij itu disampaikan kepada Ahmad Syaarani Azulan, Setiausaha Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPFMB), yang mewakili pihak hotel pada majlis berkenaan.
Ditubuhkan di Bandar Baru Bangi dan diuruskan oleh KPF Hotel Management Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh KPFMB, Tenera Hotel & Suites diiktiraf atas kecemerlangan dalam menawarkan perkhidmatan hospitaliti menyeluruh serta kemudahan acara berkapasiti besar yang memenuhi keperluan pelbagai segmen pelanggan.

Hotel itu kini mampu menampung sehingga 2,100 tetamu dalam dewan besarnya selain dilengkapi bilik mesyuarat dan dewan fungsi moden.
Ia turut menawarkan 502 bilik penginapan serba lengkap yang direka bagi keselesaan tetamu korporat, keluarga serta pelancong rekreasi.
Di bawah kepimpinan Pengurus Besar, Fadzly Hamzah, Tenera Hotel kekal menjadi destinasi pilihan utama bagi penginapan dan penganjuran acara patuh syariah di Malaysia.
Antara keistimewaan yang menjadi kekuatan jenama ini termasuk dapur bersijil halal, restoran bebas alkohol, kemudahan ibadah lengkap dan pengurusan acara berlandaskan prinsip hospitaliti Islam.
“Kami amat berbesar hati atas pengiktirafan ini yang mencerminkan usaha gigih seluruh pasukan serta komitmen kami dalam mengekalkan standard hospitaliti mesra Muslim No.1 di Malaysia,” kata Ahmad Syaarani.

Menurut kenyataan The World Brands Foundation, penerima The BrandLaureate BestBrands Awards dinilai berdasarkan lima aspek utama termasuk prestasi, strategi, komunikasi, budaya serta ekuiti jenama, selain inovasi dan impak terhadap industri.
Kejayaan Tenera Hotel & Suites dalam kategori ini bukan sahaja mengiktiraf kekuatan jenamanya dalam pasaran hospitaliti, malah memperkukuh peranan KPFMB dalam membangunkan sektor pelancongan mesra Muslim serta mempertingkatkan standard perkhidmatan di peringkat nasional.