Kami bukan anti-pelaburan, tapi Lynas beri kita jutaan tan radioaktif – Wan Ahmad Fayhsal
1 min read

Kami bukan anti-pelaburan, tapi Lynas beri kita jutaan tan radioaktif – Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menegaskan sudah tiba masanya Malaysia tidak lagi tunduk kepada model industri nadir bumi yang merugikan negara, sambil mengecam operasi Lynas yang didakwa meninggalkan lebih satu juta tan sisa radioaktif sejak lebih sedekad beroperasi di Gebeng.

Beliau berkata, di bawah kerangka Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia –Amerika Syarikat (AS), negara mesti membina industri nadir bumi yang benar-benar berdaulat, selamat dan beretika, bukan model yang hanya menguntungkan pelabur asing.

“Selama 12 tahun, Lynas meninggalkan kita dengan lebih satu juta tan sisa radioaktif. Pelupusan kekal pula masih belum beres sepenuhnya. Keuntungan dibawa keluar, tetapi risiko diserahkan kepada rakyat kita.

“Dengan kemasukan pelaburan baharu menerusi ART 2025, Malaysia tidak boleh ulang kesilapan sama. Kita mesti tegas membangunkan industri nadir bumi yang berdaulat dan tidak lagi menyerahkan nasib negara kepada model eksploitasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Menurutnya, pendirian Malaysia jelas iaitu kita bukan anti-pelaburan, tetapi menolak sebarang bentuk penguasaan atau eksploitasi yang menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.

Mengulas lanjut, Wan Fayhsal berkata beliau telah mengemukakan beberapa syor penting bagi memperkukuh hala tuju industri nadir bumi negara, antaranya:

  • Moratorium sementara sehingga loji pelupusan kekal Lynas siap dan diaudit secara bebas;
  • Penggubalan Akta Nadir Bumi Nasional untuk mengawal pemilikan, teknologi dan pengurusan sisa;
  • Audit alam sekitar antarabangsa di Gebeng dengan R&D tempatan dijadikan teras pembangunan;
  • Penubuhan dana pemulihan alam sekitar yang wajib dibiayai syarikat asing.

“Kita tidak menolak industri nadir bumi, tetapi kita menolak penjajahan industri. Reformasi yang dicadangkan ini bukan anti-pelaburan tapi ia pro-Malaysia, pro-kedaulatan,” katanya tegas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *