KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melahirkan kebimbangan berhubung penilaian antarabangsa terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 yang hanya memberikan markah 47 daripada 150.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, jika dibiarkan dalam bentuk semasa, Malaysia berisiko mempunyai antara undang-undang kebebasan maklumat yang paling lemah di dunia.
Menurutnya, keadaan itu tidak sepadan dengan komitmen kerajaan untuk memperkukuh reformasi institusi, ketelusan dan tatakelola.
Tegas beliau, RUU Kebebasan Maklumat 2026 mesti menjamin hak rakyat memperoleh maklumat kerajaan, bukannya sekadar mewujudkan prosedur pentadbiran yang terus dibatasi oleh budaya kerahsiaan.
“MCW berpandangan bahawa Fasal 22, yang menafikan kebebasan maklumat sebagai sebahagian daripada kebebasan asasi, mesti digugurkan atau dipinda secara menyeluruh.
“Pengecualian yang terlalu luas, ketiadaan ujian kemudaratan serta tiadanya perlindungan kepentingan awam yang berkesan berpotensi menjadikan undang-undang ini “tidak bergigi”,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Jais, lebih membimbangkan, kedudukan Akta Rahsia Rasmi 1972 masih membolehkan terlalu banyak dokumen kerajaan dilindungi daripada penelitian awam.
Ujarnya, ini termasuk maklumat berkaitan perolehan, pemberian kontrak, konsesi, perbelanjaan awam, laporan audit dan keputusan yang melibatkan kepentingan negara.
“MCW menegaskan bahawa kerajaan yang bersih tidak perlu takut kepada ketelusan. Maklumat awam bukan milik eksklusif pentadbiran, tetapi amanah yang dipegang bagi pihak rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, menurutnya, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen hendaklah melaksanakan penelitian secara terbuka, dwipartisan dan melibatkan masyarakat sivil, media, ahli akademik serta badan profesional.
Tegasnya, RUU itu wajib memasukkan prinsip pendedahan maksimum, ujian kemudaratan, pengecualian demi kepentingan awam, pendedahan proaktif dan mekanisme rayuan kepada Suruhanjaya Maklumat yang benar-benar bebas.
“Kebebasan maklumat ialah benteng pencegahan rasuah.
“Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui bukan sekadar hak untuk memohon dan kemudian ditolak,” katanya. – PentasDaily

