KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan ditahan bagi membantu siasatan susulan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 60-an berkenaan ditahan kira-kira pukul 4 petang tadi ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
“Mereka dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman esok,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Jumaat lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH direman tujuh hari sehingga esok, berkait laporan RCI TH.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
SPRM sebelum ini sudah menahan dan memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung RCI itu.
Mereka terdiri daripada bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan, selain pengarah syarikat pembinaan, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH. – PentasDaily

