KUALA LUMPUR: Tiga lagi individu ditahan hari ini bagi membantu siasatan video tular jalan ditutup bagi memberi laluan kepada perlumbaan haram di Lebuhraya Linkedua, Johor, baru-baru ini.
Mereka yang ditahan membabitkan tiga lelaki Melayu yang berusia antara 20 hingga 40 tahun dipercayai seorang `joki’ serta dua penonton.
Ketua Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, kesemua suspek ditahan kira-kira jam 1.30 pagi tadi, di kawasan parkir sebuah kondominium di Sentul, di sini.
Ujarnya, dalam operasi yang dijalankan Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman itu, kesemua suspek dipercayai cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan oleh pasukan polis.
“Kesemua suspek dibawa ke Balai Trafik Kulai, Johor, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 81(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Muhammed Hasbullah berkata, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti perlumbaan haram yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Pada 23 Ogos lalu, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, lapan lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 45 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu ditahan polis pada jam 11.54 pagi, Ahad lalu.
Semua tangkapan itu termasuk seorang pempengaruh permotoran direman empat hari oleh Mahkamah Kulai kelmarin, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Terdahulu, tular video tular berdurasi 33 saat yang memaparkan aksi dua penunggang motosikal sedang berlumba haram di lebuh raya berkenaan kira-kira jam 7 pagi dipercayai berlaku dari Kilometer 33, Susur Tol Senai hingga Kilometer 31, Susur Johor Premium Outlet (JPO).
Menerusi video itu, turut dilihat beberapa individu ‘menutup’ jalan di lebuh raya berkenaan bagi memberi laluan kepada perlumbaan, selain dilihat turut membakar mercun. – PentasDaily

