Foto: FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi memutuskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law) mesti sentiasa dihormati dan dijunjung.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum didakwa, dibicarakan dan disabitkan kesalahannya oleh mahkamah yang berbidang kuasa.

Menurutnya, sebarang tindakan untuk memalukan atau mengaibkan seseorang, termasuk membentuk persepsi seolah-olah individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan telah pun bersalah, adalah bertentangan dengan prinsip keadilan, anggapan tidak bersalah (Presumption of Innocence) serta semangat kedaulatan undang-undang.

“UMNO konsisten bahawa parti tidak akan pernah mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan, penyimpangan yang dilakukan oleh mana-mana pihak termasuk ahli dan kepimpinan parti yang wajib dihadapkan ke muka pengadilan melalui proses undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan malam

Sementara itu, tambahnya, UMNO mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal yang dilakukan oleh pelbagai agensi dan penyelidik di kalangan ahli akademik yang menjurus kepada sentimen rakyat terutamanya orang Melayu yang mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan dan kepentingan keindukan Melayu menjadi teras kepada kestabilan politik negara.

Sehubungan itu, ujarnya, UMNO bersetuju untuk kepimpinan negeri melakukan perbincangan dan perundingan dengan parti-parti politik yang mahu bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

“Sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan dan gertakan,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, mesyuarat turut bersetuju memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi Pas bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Katanya, ia sebagai tanda penghormatan serta membalas jemputan yang telah diberikan kepada kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *