KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Ong Kian Ming mengumumkan keluar DAP berkuat kuasa hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Serdang dan Bangi itu bagaimanapun berkata, beliau tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat.
Malah, ujar bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkenaan, beliau tidak berniat untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang (PRU-16).
Sebaliknya, tegasnya, beliau tetap komited untuk menunaikan janji yang dibuat pada 10 Januari lalu untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen dalam PRU-16, jika beliau diberi kerusi untuk bertanding.
“Saya akan terus berkhidmat untuk kepentingan negara melalui cara lain termasuk dalam podcast saya (“Are We OK”), melalui pelbagai jawatan penasihat saya dan dengan bekerjasama dengan orang lain yang berfikiran sama dengan minat yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada Tony Pua kerana menjemputnya menyertai DAP dan panduan yang diberkan tentang cara terbaik untuk berkhidmat kepada parti dan negara sepanjang 14 tahun yang lalu.
Selain itu, beliau juga berterima kasih kepada Lim Guan Eng kerana memberi saya peluang untuk dicalonkan di kerusi Parlimen Serdang dan Bangi dan sebagai Timbalan Menteri semasa menjadi Setiausaha Agung DAP.
“Saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan ahli dan pemimpin DAP di Serdang dan Bangi semasa penggal saya sebagai Ahli Parlimen dari 2013 hingga 2022, berkhidmat untuk pengundi dan penduduk kawasan tersebut sebagai wakil rakyat mereka,” katanya. – PentasDaily

