Foto: UPDA

KUALA LUMPUR: Syarikat percetakan NE Creative Ventures memohon maaf secara terbuka kepada Pejabat Menteri Besar Kedah berhubung kesilapan cetakan bintang pada pakaian Jalur Gemilang yang dipakai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan beberapa kenamaan ketika Perarakan Bot Merdeka Kibar Jalur Gemilang, semalam.

Menerusi surat rasmi permohonan maaf kepada Pejabat Menteri Besar Kedah itu, syarikat tersebut mengakui berlaku kekhilafan dalam proses pengeluaran sehingga menyebabkan jumlah bucu bintang pada cetakan Jalur Gemilang tidak menepati spesifikasi rasmi.

Sehubungan itu, syarikat tersebut mengambil tanggungjawab penuh terhadap kesilapan terbabit dan akan melakukan pembetulan segera menerusi penyediaan pakaian gantian baharu yang mematuhi spesifikasi rasmi Jalur Gemilang.

Menjelaskan kesilapan yang berlaku, menurutnya, reka bentuk pakaian tersebut dicetak berdasarkan bahan rujukan fail (artwork) yang diterima sebelum melalui proses tracing teknikal pada fasa pengeluaran.

“Pihak kami mengakui berlaku kekhilafan selepas menerima tempahan tambahan pada saat akhir bagi memenuhi tarikh akhir yang singkat, mengakibatkan proses semakan terperinci (kawalan kualiti) kurang teliti,” menurut surat berkenaan hari ini.

Tambah syarikat itu, pihaknya mengambil serius isu tersebut serta menghargai teguran dan komen orang ramai selepas gambar program berkenaan tular.

Katanya, pihak syarikat turut menjadikan insiden itu sebagai pengajaran untuk memperketat prosedur operasi standard (SOP), khususnya membabitkan penghasilan pakaian yang mempunyai lambang rasmi, jata negeri atau logo korporat.

“Mulai hari ini, syarikat akan mewajibkan pelanggan menandatangani borang pengesahan draf akhir sebelum sebarang proses cetakan, terutama yang melibatkan lambang rasmi, jata negeri atau logo korporat,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar Muhammad Sanusi dan beberapa kenamaan yang memakai pakaian berkenaan sehingga mendapat kritikan orang ramai.

Ia selepas cetakan bintang pada Jalur Gemilang didapati tidak mempunyai 14 bucu seperti yang sepatutnya. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *