KUALA LUMPUR: Pengasas parti BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan pimpinan dan penyokong Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mengambil kesempatan atau terlalu meraikan pendedahannya berhubung dakwaan penyelewengan FELDA.
Menurutnya, isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan ruang untuk PH sekadar menyerang Barisan Nasional (BN) atau memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jawapan saya kepada orang PH – ‘jangan seronok sangat tunggang kerja orang, sebab minggu depan ada bahagian kedua. Kita tunjukkan pula kegagalan PH dalam kes Felda ni’,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau sebelum ini menghabiskan kira-kira empat jam menerangkan isu penyelewengan FELDA dalam satu sesi pada Jumaat lalu, yang menurutnya mencatat kira-kira 250,000 tontonan di YouTube selepas sehari.
Beliau turut membalas kritikan penyokong BN yang mempersoalkan sama ada masih ramai yang mempercayainya.
“Jawapan saya – ‘kebenaran itu tidak bergantung kepada berapa ramai orang yang percaya, ia berasaskan fakta’,” kata bekas Timbalan Presiden PKR berkenaan.
Dalam pada itu, Rafizi mendakwa isu FELDA berkenaan telah berlarutan dan “diperam” selama 10 tahun merentasi pentadbiran BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH.
Beliau berkata, kupasan lanjut mengenai isu itu akan diteruskan menerusi siri ceramahnya, termasuk program bersama Trak Kancil di Melaka dan Wangsa Maju.
Rafizi turut memaklumkan bahagian kedua pendedahan mengenai FELDA akan memberi tumpuan kepada apa yang disifatkannya sebagai kegagalan PH dalam menangani isu tersebut. – PentasDaily

