KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berpandangan bahawa prinsip peruntukan pembangunan kawasan secara sama rata wajar diperluaskan ke peringkat Persekutuan.
Malah, mesyuarat CEC DAP semalam turut berpendirian prinsip itu wajar dilaksanakan oleh semua kerajaan negeri di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan, CEC DAP berkata, peruntukan pembangunan kawasan harus diberikan secara sama rata tanpa mengira latar belakang parti politik wakil rakyat yang dipilih.
Sehubungan itu juga, CEC DAP turut membuat ketetapan untuk meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin Ketua Menteri, Saudara Chow Kon Yeow, supaya menggubal suatu Enakmen Dana Pembangunan Kawasan (Constituency Development Fund).
“Ini bagi menjamin layanan yang adil dan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, tanpa mengira parti politik yang diwakili, supaya pemberian peruntukan pembangunan kawasan secara sama rata dapat dijamin melalui perundangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, tambah kenyataan itu, CEC turut membincangkan keputusan Persidangan Kebangsaan berhubung usul yang diluluskan oleh perwakilan untuk memberikan mandat kepada kepimpinan parti supaya DAP kekal dalam Kerajaan Persekutuan MADANI sehingga berakhirnya tempoh Parlimen ini.
Ujarnya, CEC DAP menghormati keputusan yang telah dibuat oleh para perwakilan dan bertekad untuk melaksanakan mandat tersebut dengan penuh tanggungjawab.
Katanya, DAP akan terus berusaha untuk memastikan pelbagai agenda reformasi dapat dilaksanakan.
“Dalam hubungan ini, CEC mengambil pendirian bahawa dua agenda reformasi penting yang melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, iaitu pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta penetapan had tempoh jawatan Perdana Menteri, seharusnya dibahaskan dan diputuskan di Parlimen pada persidangan yang akan datang pada bulan Oktober,” katanya.
Selain itu, tambahnya, mesyuarat CEC DAP semalam turut membincangkan persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak.
Jelasnya, DAP akan membuat persiapan sewajarnya untuk mempertahankan semua kerusi yang kini disandangkan, di samping mengenal pasti kerusi-kerusi lain yang berpotensi untuk ditandingi. – PentasDaily

