KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan bahawa anggota penguat kuasanya tidak dibenarkan mengambil tindakan terhadap premis tertentu, termasuk yang dikendalikan warga asing.
Menurut DBKL, pembahagian tugas antara jabatan dan anggota penguat kuasa dilaksanakan bagi memastikan setiap tindakan mengikut fungsi serta peruntukan undang-undang.
“Ia bukan sekatan kepada anggota untuk menjalankan tugas. Bagi kes membabitkan bidang kuasa agensi lain, DBKL akan mengambil tindakan dalam ruang kuasanya dan menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan.
“Tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan kesalahan dilakukan dan bukan berdasarkan siapa yang mengendalikan sesuatu premis,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan satu hantaran Threads yang mendakwa anggota penguat kuasa DBKL yang bertugas di lapangan tidak dibenarkan mengambil tindakan terhadap premis tertentu, termasuk yang dikendalikan warga asing.
Sehubungan itu, DBKL berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu dan akan membuat laporan polis bagi membolehkan perkara itu disiasat.
DBKL turut menegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) memandang serius sebarang dakwaan mengenai salah laku atau arahan yang boleh menjejaskan tugas penguatkuasaan.
“Pihak yang mempunyai maklumat atau bukti khusus boleh mengemukakannya kepada DBKL untuk diteliti.
“Penguatkuasaan DBKL dilaksanakan tanpa pilih kasih dan berdasarkan undang-undang,” katanya.

