Bangkai ikan lumba-lumba 'false killer whale' yang ditemukan di pantai Sematan, Sarawak.

SEMATAN: Seekor ikan lumba-lumba “False Killer Whale” ditemukan dalam keadaan lemah sebelum mati di kawasan Pantai Kem Belia Pueh di sini, sekitar jam 2 petang tadi.

Terdahulu, ikan itu yang ditemukan terdampar di pesisiran pantai Pantai Pueh telah dilepaskan ke laut oleh pihak berkuasa dan orang awam, namun ditemui kembali terdampar jam 9 pagi tadi.

Controller Hidupan Liar Sarawak, Abang Arabi Abang Aimran berkata, melalui penelitian terhadap bentuk morphologi luaran dan jumlah gigi, mamalia marin tersebut telah dikenal pasti sebagai seekor lumba-lumba “False Killer Whale” (π‘ƒπ‘ π‘’π‘’π‘‘π‘œπ‘Ÿπ‘π‘Ž π‘π‘Ÿπ‘Žπ‘ π‘ π‘–π‘‘π‘’π‘›π‘ ) betina dewasa berukuran 3.85 meter panjang dan 1.77 meter lilitan badan.

Susulan kejadian tersebut, Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah menjalankan prosedur operasi standard haiwan marin terdampar dan pemeriksaan nekropsi terhadap bangkai haiwan berkenaan.

Katanya, spesimen biometri untuk data bank DNA turut diambil sebahagai rujukan di masa hadapan, dengan operasi melibatkan sembilan kakitangan SFC dengan bantuan enam penduduk Kampung Pueh.

Bangkai ikan lumba-lumba ‘false killer whale’ yang ditemukan di pantai Sematan, Sarawak.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan gigitan jerung pada badan haiwan tersebut.

“Kandungan dalam perut adalah sangat minimum dan didapati bercampur dengan pasir, yang menunjukkan bahawa haiwan tersebut berkemungkinan tidak berjaya mendapatkan makanan yang mencukupi sebelum kejadian terdampar.

“Berdasarkan penemuan nekropsi, kematian haiwan tersebut dipercayai berkaitan dengan komplikasi akibat kejadian terdampar, termasuk kemungkinan kegagalan sistem peredaran darah akibat tekanan haba (heat stroke),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, semua spesies mamalia marin ( lumba-lumba, paus dan dugong) diklasifikasikan sebagai haiwan Terlindung Sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Sehubungan itu, SFC menyeru orang ramai agar tidak mengendalikan sendiri mana-mana hidupan liar yang terdampar, cedera atau mati.

Sebaliknya, tambahnya, orang awam hendaklah segera melaporkan kejadian tersebut kepada SFC melalui talian hotline atau Pejabat Wilayah Kuching SFC yang berhampiran bagi membolehkan tindakan penyelamatan, pemeriksaan dan pengurusan yang sewajarnya dilaksanakan.

Sebagai rekod, “False Killer Whale” pernah direkodkan terdapar di pantai Miri pada tahun 2013. – PentasDaily

By Editor4

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *