PORT DICKSON: Seramai 7,770 graduan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Selatan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selatan Tahun 2026 di Politeknik Port Dickson, di sini hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, pencapaian graduan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuktikan bidang itu semakin mendapat tempat sebagai laluan utama membina kerjaya masa depan.
Menurut beliau, keberkesanan pendidikan TVET turut diterjemahkan menerusi kadar kebolehpasaran graduan POLYCC yang mencatatkan peratusan tinggi.
“Bagi tahun 2025, sebanyak 98.5 peratus graduan Politeknik dan 98.8 peratus graduan Kolej Komuniti berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
“Sambutan gemilang majlis konvokesyen hari ini sejajar dengan hala tuju negara menerusi slogan Hari TVET Negara 2026, ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’ dengan subtema ‘Kemahiran Dijulang, Masa Depan Gemilang’,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan hari ini.

Adam Adli berkata, komitmen kerajaan seperti yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk memastikan TVET tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua, sebaliknya menjadi antara laluan utama dalam membina kerjaya rakyat.
Majlis berkenaan menghimpunkan graduan daripada lapan politeknik dan 25 Kolej Komuniti melibatkan tiga negeri di Zon Selatan iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 810 graduan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) menerima penganugerahan Ijazah, Diploma dan Sijil sempena Majlis Konvokesyen PIS Ke-31 bagi sidang satu dan dua.
Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah kecemerlangan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian graduan dalam bidang akademik, kokurikulum, hasil projek serta penglibatan bersama industri.
Kemuncak majlis menyaksikan dua graduan cemerlang menerima Anugerah Ketua Pengarah POLYCC.
Mereka ialah Muhammad Ainulhaq Ali Mazat, graduan Diploma Teknologi Maklumat – Teknologi Digital dari Politeknik Mersing dan Ahmad Irfan Md Azwan, graduan Sijil Landskap dari Kolej Komuniti Selandar.
Penganugerahan itu sekali gus mengiktiraf kecemerlangan graduan dalam pelbagai aspek sepanjang tempoh pengajian serta menjadi contoh kepada generasi baharu yang memilih laluan TVET sebagai asas membina masa depan.
