MIRI : Sebuah helikopter perkhidmatan kesihatan yang membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran landasan di Long Lellang, kira-kira 300 km dari Miri.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan, mengesahkan kejadian melibatkan pesawat BO-105 berhampiran landasan pendek di pedalaman itu.
“CAAM menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang,” katanya.
Kejadian dipercayai berlaku ketika helikopter berkenaan sedang dalam operasi menjalankan tugas perkhidmatan doktor udara.
Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Dalam satu video yang tular petang ini, pesawat malang tersebut dilihat terbakar di udara sebelum terhempas berhampiran kawasan landasan. – PentasDaily

