KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (Ops Mega) di sekitar Lebuh Pudu pada hari ini.
Operasi berskala besar ini diketuai secara langsung oleh Pengarah Imigresen Negeri WPKL, Datuk Hamsha Injau.
Operasi yang bermula pada jam 11 pagi itu memfokuskan kepada kawasan premis perniagaan yang dipercayai menggaji atau dikendalikan oleh warga asing.
JIM WPKL dalam satu kenyataan berkata, Ops Mega kali ini dijayakan dengan gandingan seramai 337 orang pegawai penguat kuasa.
Katanya, kekuatan ini merangkumi 218 orang Pegawai Imigresen bersama 119 orang pegawai daripada pelbagai agensi luar, iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Sepanjang operasi dijalankan, pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan ke atas 2,500 orang individu.
“Daripada jumlah pemeriksaan yang berskala besar tersebut, seramai 472 orang warganegara asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Kesemua tahanan berusia di antara 18 hingga 62 tahun, yang terdiri daripada 439 orang lelaki dan 33 orang perempuan,” katanya.
Tambahnya, pecahan warganegara yang ditahan didominasi oleh warganegara Bangladesh dengan 364 orang (lelaki); diikuti oleh Myanmar seramai 57 orang (49 lelaki, 8 perempuan) dam 18 orang Filipina (perempuan).
Turut ditahan lapan Nepal (lelaki); tujuh orang Pakistan (6 lelaki, 1 perempuan); tujuh 7) Indonesia (2 lelaki, 5 perempuan); enam India (lelaki); tiga China (lelaki), serta masing-masing seorang warganegara Zimbabwe (perempuan) dan Arab Saudi (lelaki).
“Antara kesalahan utama yang telah dikenal pasti termasuklah ketiadaan dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa di negara ini, memegang kad yang tidak diiktiraf, serta kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Imigresen.
“Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk proses siasatan dan tindakan susulan,” katanya.
Tambahnya, JIM WPKL menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus digerakkan secara berterusan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang berdegil melanggar undang-undang imigresen.
Jelasnya, tindakan tegas ini juga terpakai ke atas majikan, pemilik premis, mahupun individu yang didapati melindungi atau menggaji PATI.
“Pada masa yang sama, pendatang asing dan majikan diseru untuk memanfaatkan Program Repatriasi Migran (PRM) yang hanya akan berjalan sehingga 31 Mei 2027 sebelum tindakan yang lebih keras diambil,” katanya. – PentasDaily

