Foto: Ihsan NADMA

PUTRAJAYA: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang kembali dari Nepal hari ini akan memberikan taklimat kepada Kementerian Luar Negeri (KLN) di Putrajaya mengenai penugasan serta maklumat yang diperoleh sepanjang operasi di lapangan.

Sepanjang penugasannya, SMART telah melaksanakan aktiviti pencarian di kawasan yang boleh diakses dengan selamat dan dibenarkan oleh pihak berkuasa Nepal, termasuk pencarian di darat dan tinjauan udara menggunakan dron.

Kementerian yang turut dikenali Wisma Putra itu berkata, pihaknya bersama agensi Malaysia yang berkaitan akan meneliti maklumat yang diperoleh SMART serta perkembangan semasa yang terus diterima dari Nepal bagi menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.

Katanya, berakhirnya penugasan SMART di lapangan tidak bermakna usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai status rakyat Malaysia yang terlibat telah tamat dan tidak mengubah status semasa mereka.

“Kesemua 55 rakyat Malaysia tersebut kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, berdasarkan maklumat terkini yang diterima dari Nepal, pihak berkuasa Nepal terus melaksanakan usaha pencarian, pengesahan dan pengecaman susulan bencana tersebut.

Katanya, bagi menyokong usaha tindak balas bencana yang masih dilaksanakan oleh pihak Nepal, SMART telah memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat Nepal, manakala sembilan buah dron telah diserahkan kepada Kerajaan Nepal melalui National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA) untuk digunakan dalam operasi berkaitan bencana.

Jelasnya, tindakan susulan Malaysia di Nepal akan diteruskan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

Menurutnya, Kedutaan Besar akan terus mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan, membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan, dan melaksanakan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan serta setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal.

“Usaha Malaysia turut diteruskan berhubung perkembangan di China. Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China yang berkaitan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana tersebut serta sebarang maklumat yang dapat membantu dalam menentukan status mereka,” katanya.

Tambahnya, kementerian itu memahami bahawa berakhirnya penugasan SMART mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga yang masih menantikan kepastian mengenai insan tersayang.

Namun, ujarnya, kementerian itu kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat rakyat Malaysia yang terlibat dan akan terus menyalurkan perkembangan berdasarkan maklumat yang telah disahkan.

“Sekiranya terdapat perkembangan yang telah disahkan mengenai status seseorang rakyat Malaysia, waris terdekat akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum,” katanya.

Dalam masa sama, kementerian itu menggesa orang ramai dan pihak media supaya menghormati privasi keluarga yang terlibat serta tidak membuat spekulasi mengenai mana-mana individu yang statusnya masih belum dapat disahkan.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan berdasarkan maklumat yang telah disahkan melalui saluran rasmi,” katanya. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *