Logo: Majlis Profesor Negara

Oleh Majlis Akademi Profesor Malaysia

KLUSTER Pembangunan Insan, Akademi Profesor Malaysia (APM) menyambut baik usaha Kerajaan untuk meneliti pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), termasuk keperluan menilai semula kedudukan universiti awam (UA) di bawah Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 atau Akta 605. Pemansuhan AUKU perlu menjadi titik permulaan kepada reformasi pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh, bukan sekadar proses menggantikan sebuah akta dengan akta yang lain, bagi memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik, hak dan peranan mahasiswa serta akauntabiliti universiti.

Pada masa yang sama, kedudukan AUKU perlu dikaji secara teliti kerana ia bukan sekadar berkaitan hak dan kebebasan mahasiswa, tetapi turut membentuk struktur pentadbiran, tadbir urus dan pembahagian kuasa antara Kerajaan dengan UA. Seiring aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) untuk membangunkan sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel, responsif dan berdaya tahan, pemansuhan AUKU perlu disertai penelitian semula kedudukan UA dan warga akademiknya di bawah Akta 605 agar kerangka tadbir urus, tatatertib dan pengurusan sumber manusia mengambil kira sifat universiti sebagai institusi ilmu serta keunikan profesion akademik.

Pemansuhan AUKU mesti disertai kerangka perundangan gantian bagi menjamin kesinambungan pentadbiran, kewangan, kuasa membuat keputusan dan akauntabiliti UA. Reformasi juga perlu meliputi institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) melalui penelitian terhadap Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan perundangan berkaitan bagi membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang lebih koheren. Sistem pendidikan tinggi yang bersepadu tidak semestinya seragam; kepelbagaian mandat, fungsi dan bentuk tadbir urus institusi perlu terus diiktiraf.

Secara prinsipnya, APM menyokong pewujudan satu Akta Induk Pendidikan Tinggi yang menyatukan prinsip asas sistem pendidikan tinggi negara. Namun, satu akta tidak bermaksud satu bentuk peraturan untuk semua. Kerangka tersebut perlu berasaskan prinsip bersama, tetapi menyediakan peruntukan yang bersesuaian bagi UA dan IPTS berdasarkan fungsi, struktur, tanggungjawab dan bentuk tadbir urus masing-masing. Dengan pendekatan ini, kepelbagaian institusi dapat diiktiraf tanpa mengorbankan standard integriti dan akauntabiliti dalam keseluruhan sistem pendidikan tinggi.

Empat prinsip utama perlu menjadi asas kerangka baharu, iaitu autonomi, akauntabiliti, kebebasan akademik dan tanggungjawab institusi. Autonomi universiti perlu merangkumi dimensi akademik, tadbir urus, pengurusan sumber manusia dan kewangan, dengan pembahagian kuasa yang jelas antara Kerajaan, Lembaga Pengarah Universiti, Senat dan pengurusan universiti. Semakin besar autonomi yang diberikan, semakin tinggi tahap akauntabiliti yang perlu dituntut. Kebebasan akademik pula perlu diiktiraf sebagai salah satu asas universiti, termasuk kebebasan menjalankan penyelidikan, mengemukakan pandangan ilmiah, membahaskan idea dan menyampaikan dapatan berdasarkan disiplin keilmuan tanpa tekanan yang tidak wajar, selaras dengan integriti akademik, etika dan tanggungjawab profesional. Pada masa yang sama, mahasiswa perlu diiktiraf sebagai anggota komuniti akademik yang mempunyai hak, kebebasan dan tanggungjawab, termasuk ruang untuk bersuara, berpersatuan dan terlibat dalam wacana intelektual.

Reformasi juga perlu memperkukuh tadbir urus dan kepimpinan universiti. Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor perlu dilaksanakan secara telus, profesional dan berasaskan merit, kompetensi, integriti serta rekod kepimpinan, disokong oleh mekanisme penilaian prestasi dan akauntabiliti yang jelas. Pada masa yang sama, pengurusan dan tatatertib warga akademik perlu mengambil kira sifat profesion akademik, kebebasan akademik dan profesionalisme, tanpa mengabaikan integriti, akauntabiliti dan tatakelola yang baik. Reformasi perundangan pula perlu bermula dengan penetapan prinsip dan reka bentuk sistem pendidikan tinggi yang ingin dibina, termasuk autonomi, kebebasan akademik, tadbir urus, pembahagian kuasa dan akauntabiliti. Sehubungan itu, kerangka baharu perlu dibangunkan oleh sebuah jawatankuasa bebas melalui proses konsultasi yang luas dengan pelbagai pemegang taruh, termasuk Lembaga Pengarah Universiti, kepimpinan universiti, Senat, ahli akademik, mahasiswa, institusi swasta, industri dan badan berkaitan.

Pemansuhan AUKU bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan reformasi pendidikan tinggi. Yang lebih penting ialah sistem yang kita bina selepas AUKU. Malaysia memerlukan universiti yang mempunyai autonomi untuk membuat keputusan, kebebasan untuk mengembangkan dan mempertahankan ilmu, kepimpinan yang berintegriti serta kesediaan untuk dipertanggungjawabkan atas prestasinya. Jika kita hanya menggantikan AUKU dengan sebuah akta baharu tetapi mengekalkan budaya kawal selia, struktur kuasa dan cara membuat keputusan yang sama, kita sekadar menukar undang-undang tanpa membawa perubahan sebenar kepada sistem pendidikan tinggi negara. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *