Foto: EPA menerusi FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Seramai 36 rakyat Malaysia yang berada di Tibet, China dilaporkan selamat susulan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan bersempadan Nepal-China.

Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata bagaimanapun, identiti dan status mereka masih dalam proses pengesahan dengan pihak berkuasa China.

Menurut beliau, kementerian turut menjalankan semakan silang bagi menentukan sama ada terdapat pertindihan antara 36 individu berkenaan dengan senarai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi di Nepal.

“Kita sedang buat pemeriksaan silang sebab maklumat ini baharu kita terima…nanti kita akan kemas kini kalau ada nama yang sama termasuk angka sebenar rakyat kita yang masih hilang ataupun yang sudah selamat, baik di Nepal ataupun di Tibet,” katanya seperti dilaporkan beberapa portal media hari ini.

Menurutnya lagi, pihak kementerian akan terus mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa China berhubung kedudukan dan keselamatan rakyat Malaysia di Tibet sebelum membuat sebarang kesimpulan lanjut.

Berhubung kemungkinan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, tambah beliau, perkara itu perlu diselaraskan dengan pihak berkuasa Nepal dan pengendali pelancongan termasuk memastikan status dokumen perjalanan mereka sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Bagaimanapun, beliau berkata keutamaan ketika ini ialah mengesan dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di kawasan terjejas selain mengambil kira keadaan cuaca serta akses yang masih terhad. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *