Foto: KKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius pengiklanan dan penjualan produk penurunan berat badan secara dalam talian.

Ini termasuk produk yang didakwa mengandungi Retatrutide atau “Reta” serta ubat suntikan lain yang ditawarkan kepada orang awam tanpa pemeriksaan, preskripsi dan pemantauan oleh pengamal perubatan berdaftar.

KKM memaklumkan, penggunaan produk atau ubat sedemikian tanpa penilaian dan pemantauan perubatan yang sewajarnya boleh menyebabkan kesan advers serta komplikasi yang serius.

Katanya, keadaan ini boleh menjadi lebih berisiko sekiranya kesan advers atau komplikasi yang berlaku tidak dikenal pasti dan ditangani dengan segera, sekali gus membahayakan kesihatan dan keselamatan pengguna.

Tegasnya, sehingga 17 Ogos lalu, belum ada produk mengandungi Retatrutide yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk digunakan di Malaysia.

“Retatrutide merupakan ubat penyiasatan (investigational medicine) yang sedang melalui kajian klinikal Fasa 3 dan belum mendapat kelulusan pemasaran daripada mana-mana pihak berkuasa regulatori di dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM terus mengambil tindakan secara proaktif bagi membendung pengiklanan dan penjualan produk penurunan berat badan yang melanggar undang-undang.

Jelasnya, bagi tempoh Januari hingga Julai lalu, sebanyak 65 aduan telah diterima dan 30 serbuan dilaksanakan, termasuk 17 serbuan berkaitan penjualan dalam talian dengan nilai rampasan keseluruhan RM477,142.

Katanya, sepanjang tahun ini juga, sebanyak 209 iklan produk penurunan berat badan, termasuk produk yang dikatakan mengandungi Retatrutide, telah diturunkan daripada platform e-dagang.

“Selain itu, sebanyak 1,243 iklan di pelbagai saluran media telah dikenal pasti, disaring dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan produk yang didakwa mengandungi Retatrutide, “Reta” atau produk penurunan berat badan daripada sumber yang tidak sah.

Ujarnya, sebelum membeli atau menggunakan sebarang produk penurunan berat badan, pastikan produk adalah berdaftar dan diluluskan untuk kegunaan berkenaan serta diperoleh daripada sumber yang sah.

“Ubat yang memerlukan preskripsi pula hendaklah digunakan di bawah pemantauan profesional kesihatan yang berkelayakan,” katanya. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *