KUALA LUMPUR: MCA Perak memohon ampun kepada Sultan Perak dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung kesilapan pemasangan Jalur Gemilang serta bendera negeri Perak yang tular ketika ini.
Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, parti itu mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memandang serius insiden tersebut.
Menurutnya, kesilapan yang tidak disengajakan itu telah diperbetulkan segera manakala pihak yang terlibat melakukan kesilapan tersebut telah meletakkan jawatan serta-merta.
Menjelaskan lanjut, ujarnya, kejadian berlaku pagi tadi apabila seorang kakitangan Ibu Pejabat MCA Negeri Perak yang telah berusia ditugaskan memasang dan memacakkan Jalur Gemilang serta bendera Negeri Perak sempena meraikan Bulan Kemerdekaan.
“MCA Perak menegaskan bahawa ini adalah kesilapan yang tidak disengajakan dan tiada niat sedikitpun untuk menghina Jalur Gemilang dan bendera Negeri Perak.
“Sebaik sahaja kesilapan itu disedari, kedua-dua bendera berkenaan telah diturunkan serta-merta dan dikibarkan semula dengan betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, dalam masa sama, MCA Perak mengesahkan telah dikunjungi pegawai polis dari Balai Polis Ipoh kira-kira jam 1 tengah hari tadi untuk menjalankan siasatan dan merakam percakapan kakitangan terbabit serta pegawai pentadbiran ibu pejabat.
Ujar beliau, MCA Perak telah dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
“Kakitangan terbabit melahirkan rasa kesal dengan kejadian tersebut dan telah secara sukarela menawarkan diri untuk meletak jawatan.
“Ibu Pejabat MCA Negeri Perak menerimanya atas dasar menghormati keputusan peribadi beliau.
“Beliau telah berkhidmat dengan penuh dedikasi selama bertahun-tahun.
“Kami akan menguruskan hal-hal berkaitan beliau berhubung perkara ini dengan sewajarnya,” katanya. – PentasDaily

