Tangkap layar video tular kejadian warga Yaman pandu kereta secara berbahaya di Jalan Sungai Besi, tengah malam semalam.

KUALA LUMPUR: Tujuh lelaki warga Yaman ditahan bagi membantu siasatan susulan video tular dua kereta dipandu secara berbahaya di Jalan Sungai Besi, di sini tengah malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mereka yang berumur 23 hingga 26 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara semalam, namun sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam ketika kedua-dua kenderaan berkenaan sedang bergerak di Jalan Sungai Besi menghala ke Jalan Bukit Bintang.

Kata beliau, penumpang kedua-dua kenderaan itu didapati bertindak mengeluarkan badan serta duduk di atas tingkap pintu kenderaan secara berbahaya ketika kenderaan sedang bergerak.

“Hasil soal siasat terhadap pemandu mendapati aksi berkenaan dilakukan sekadar berseronok bagi meraikan perkahwinan seorang rakan.

“Lima yang ditahan merupakan pelajar universiti awam di Kedah, manakala dua lagi merupakan lepasan universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan, iaitu peruntukan berkaitan perbuatan cuai atau gopoh yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

Ujarnya, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *