KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS01 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu, kira-kira jam 12 tengah hari waktu tempatan, semalam.
Urusetia Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, pasukan itu juga telah selesai menjalani proses ketibaan dan protokol misi, termasuk urusan pelepasan logistik serta pengesahan manifest anggota pada jam 4.30 petang.
Ketika ini, menurutnya, pasukan itu sedang bergerak ke Kedutaan Besar Malaysia di Nepal bagi menerima taklimat situasi semasa.
“Penyelarasan seterusnya akan dibuat bersama Kedutaan Besar Malaysia dan agensi pengurusan kecemasan tempatan bagi menentukan aturan penugasan pasukan.
“Pelaporan harian akan diselaraskan antara NADMA dengan Kedutaan Besar Malaysia di Nepal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, kedudukan keseluruhan pasukan adalah baik dan tiada sebarang isu dilaporkan setakat ini.
Semalam, seramai 11 pegawai dan anggota SMART berlepas ke Nepal bagi membantu operasi SAR susulan kejadian banjir dan tanah runtuh yang melanda negara berkenaan.
Pasukan itu diketuai Komander Kontinjen, Penguasa Kanan Bomba 1 Abdul Manaf Che Isa dan berlepas kira-kira jam 9 pagi menggunakan pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Operasi SMART itu bermula selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan Nepal dan dijadualkan berlangsung selama 10 hari.
Bercakap kepada pemberita, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, kawasan terakhir rakyat Malaysia dikesan menjadi tumpuan utama pasukan SMART dalam misi SAR di Nepal tersebut.
Bagaimanapun, ujarnya, keutamaan pasukan itu bukan hanya mencari rakyat Malaysia, sebaliknya menyelamatkan semua mangsa yang ditemui ketika operasi berkenaan. – PentasDaily

