SINGAPURA bakal menjadi destinasi impian buat peminat animasi Jepun apabila dunia imaginasi Studio Ghibli dibawa keluar dari layar dan dihidupkan dalam bentuk pengalaman nyata menerusi pameran The Story of Studio Ghibli.
Bermula 18 Disember 2026, Gardens by the Bay akan menjadi lokasi pameran perdana yang menawarkan pengalaman imersif terbesar setakat ini, dengan ruang pameran seluas 3,500 meter persegi.
Lebih menarik, pengunjung bukan sekadar melihat koleksi karya atau bahan produksi, sebaliknya berpeluang seolah-olah melangkah masuk ke dalam dunia yang selama ini hanya dikenali melalui filem seperti My Neighbor Totoro, Spirited Away, Princess Mononoke, Howl’s Moving Castle, Kiki’s Delivery Service, Nausicaä of the Valley of the Wind dan The Boy and the Heron.
Sebanyak 12 ruang pengalaman dunia nyata dalam skala sebenar disediakan, termasuk pengalaman imersif yang pertama seumpamanya di dunia, bagi membawa babak-babak ikonik Studio Ghibli lebih dekat kepada pengunjung.
Bayangkan berdiri di sisi Totoro sambil menunggu Catbus tiba, menyapa Ohmu yang agung dari Nausicaä of the Valley of the Wind atau menyusuri lorong misteri dalam Spirited Away.
Pengunjung turut dapat meneroka replika 3D rumah mandian ikonik daripada Spirited Away yang dibina setinggi lapan meter, menjadikannya antara tarikan utama pameran berkenaan.
Pemasangan multimedia interaktif yang memenuhi ruang pameran pula direka untuk memberikan pengalaman seolah-olah pengunjung berada di dalam filem, bukan sekadar menjadi penonton dari luar.
Bagi peminat Princess Mononoke, dunia hutan mistik dalam filem berkenaan turut dibina semula menerusi struktur berskala besar, paparan suasana dan elemen multimedia imersif.


besar, multimedia imersif dan paparan suasana.
Di sebalik pengalaman visual dan teknologi yang ditawarkan, pameran itu turut membawa pengunjung menelusuri perjalanan kira-kira 40 tahun Studio Ghibli dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan nilai kemanusiaan.
Studio Ghibli yang diasaskan pada 1985 oleh Isao Takahata, Hayao Miyazaki dan Toshio Suzuki dikenali menerusi kisah serta watak yang merentasi generasi, dengan tema seperti keberanian, kebaikan, rasa hormat terhadap alam sekitar dan harapan.
Justeru, The Story of Studio Ghibli bukan sekadar peluang untuk mengimbau kembali filem kegemaran, tetapi turut mengajak generasi baharu mengenali idea dan nilai yang menjadi sebahagian daripada kekuatan penceritaan studio animasi berkenaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif M Experience, Sean Lim, pameran itu direka supaya pengunjung dapat merasai sendiri dunia Studio Ghibli menerusi ruang imersif yang menghubungkan mereka dengan emosi, nilai dan imaginasi daripada setiap cerita.

Pameran berkenaan turut dirangka untuk pengunjung daripada pelbagai peringkat usia dengan mengetengahkan tema seperti kreativiti, ketabahan dan tanggungjawab dalam memelihara alam sekitar.
Inisiatif pendidikan dan peluang pembelajaran berkaitan tema berkenaan juga sedang disediakan, dengan butiran aktiviti akan diumumkan kemudian.
Buat mereka yang sudah lama membesar dengan Totoro, Chihiro, Kiki atau watak-watak lain ciptaan Studio Ghibli, pameran ini menawarkan peluang untuk melihat semula dunia imaginasi berkenaan dari perspektif berbeza.
Dan kali ini, bukan melalui skrin televisyen. Sebaliknya, pengunjung sendiri menjadi sebahagian daripada dunia itu.
Tiket bagi pameran berkenaan kini dibuka untuk tempahan menerusi Klook, rakan tiket rasmi The Story of Studio Ghibli di Singapura.
Bagi pembelian tiket dewasa dalam tempoh tempahan awal dari 12 September hingga 17 Disember 2026, pengunjung turut menerima hadiah eksklusif edisi terhad, tertakluk kepada stok.
The Story of Studio Ghibli akan berlangsung di Gardens by the Bay mulai 18 Disember 2026.

