Creative Creed Rancang Kerjasama Strategik Di Indonesia
2 mins read

Creative Creed Rancang Kerjasama Strategik Di Indonesia

YOGYAKARTA – Syarikat pengurusan acara, Creative Creed Associates (Creative Creed) merancang menjalin kerjasama strategik dengan syarikat terkemuka Indonesia, GM Production, sebagai sebahagian daripada langkah pengembangan perniagaannya ke peringkat antarabangsa menjelang 2026.

Hasrat itu dizahirkan menerusi sesi perbincangan awal yang diadakan di Pejabat GM Production di sini pada 17 Disember lalu, melibatkan pertemuan dua hala bagi meneroka potensi kolaborasi strategik dalam industri pengurusan acara dan kreatif.

Pengarah Urusan Creative Creed, Syaiful Bakhtiar Salim berkata, pihaknya berbangga dengan kesediaan GM Production untuk meneroka kerjasama yang diyakini mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam usaha mengembangkan perniagaan serta memperluaskan pasaran masing-masing.

Menurutnya, selain potensi perjanjian perniagaan, kerjasama strategik itu turut memberi nilai tambah dari segi kualiti perkhidmatan apabila kedua-dua syarikat berkongsi pengalaman dan kepakaran.

“Dalam industri acara yang semakin mencabar dan kompetitif, keupayaan untuk berkongsi kepakaran, idea kreatif serta pendekatan pengurusan yang berkesan amat penting.

“Kerjasama ini diharap dapat menggabungkan kekuatan Creative Creed dan GM Production bagi menghasilkan pengalaman acara yang lebih inovatif, berkualiti dan bernilai tinggi kepada klien,” katanya.

Terdahulu, kehadiran Syaiful Bakhtiar bersama delegasi Creative Creed seramai 13 orang disambut pengurusan tertinggi serta warga kerja GM Production sempena lawatan ke ibu pejabat syarikat berkenaan.

Syaiful Bakthiar (dua dari kanan) menyerahkan cenderamata kepada Bapak Sutikno (dua dari kiri) sambil disaksikan oleh Muhammad Hudhayfah (paling kanan) dan Ibu Yuliana Kartikasari (kiri sekali) sebagai kenangan lawatan mereka ke ibu pejabat GM Production di Yogyakarta.

Turut serta dalam delegasi ialah Pengarah Creative Creed, Muhammad Hudhayfah Zulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif Nebula Ventures, Mohd Ainuddin Aliff Salehuden, iaitu syarikat di bawah kumpulan Creative Creed.

Sementara itu, pihak GM Production diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bapak Sutikno serta Pengarah Jualan dan Pemasaran, Ibu Yuliana Kartikasari.

Mengulas lanjut, Syaiful Bakhtiar berkata, peluang menguruskan acara di peringkat antarabangsa termasuk di Osaka, Jepun pada tahun ini membuka mata Creative Creed untuk melangkah lebih jauh di pasaran global.

“Pada 2026, kami menyasarkan untuk memberi fokus kepada penerokaan pasaran antarabangsa dalam perniagaan pengurusan acara.

“Selepas lebih 10 tahun beroperasi di pasaran tempatan, saya yakin Creative Creed mampu mengembangkan pasaran dengan sasaran baharu ini, insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Bapak Sutikno menyambut baik hasrat Creative Creed dan menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai langkah positif ke arah pembentukan kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat bersama.

“GM Production melihat potensi besar untuk kedua-dua syarikat bekerjasama, khususnya dalam memperluaskan jaringan serantau serta berkongsi kepakaran dalam penganjuran acara profesional yang menepati piawaian antarabangsa,” katanya yang mengasaskan GM Production lebih 25 tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *