Bandar Bersejarah Niscemi di Itali Mula Runtuh
ROME – Bandar Niscemi di Sicily berdepan kecemasan geologi serius susulan kejadian tanah runtuh besar yang memaksa lebih 1,000 penduduk dipindahkan selepas kawasan penempatan di puncak bukit itu mula ‘roboh’.
Kejadian itu dicetuskan hujan berterusan akibat Taufan Harry yang melanda selatan Sicily yang menyebabkan rekahan besar yang terus ‘menelan’ sebahagian pusat bersejarah bandar berkenaan.
Menurut pihak berkuasa tempatan, tanda-tanda ketidakstabilan mula dikesan sejak Ahad lalu sebelum runtuhan itu merebak menjadi satu jajaran sepanjang kira-kira empat kilometer.
Datuk Bandar Niscemi, Massimiliano Conti menyifatkan keadaan sebagai kritikal apabila tebing yang menjadi tapak bandar itu terus runtuh.
Rakaman dron dari udara memperlihatkan kemusnahan ketara dengan beberapa bangunan terkoyak, manakala kenderaan dan rumah kediaman dilihat tergantung berbahaya di tebing setinggi kira-kira 25 meter.
Di bawah arahan Jabatan Perlindungan Awam, satu ‘zon merah’ diisytiharkan menyebabkan lebih 300 keluarga dipindahkan serta-merta.
Sebahagian penduduk berlindung di rumah saudara-mara, manakala ratusan yang lain bermalam di sebuah dewan sukan tempatan dengan bantuan bekalan kecemasan dihantar pasukan perlindungan awam dari Palermo.
Dua jalan raya wilayah utama ke bandar itu turut terputus atau ditimbus runtuhan, manakala semua sekolah diarahkan tutup sementara pakar memantau pergerakan tanah runtuh yang dilaporkan masih bergerak ke arah pusat bandar.
Presiden wilayah Sicily, Renato Schifani menganggarkan kerosakan keseluruhan akibat Taufan Harry di seluruh pulau itu sudah mencecah €740 juta dan dijangka meningkat bergantung kepada perkembangan krisis di Niscemi.
Sementara itu, Menteri Perlindungan Awam Itali, Nello Musumeci memberi jaminan sokongan penuh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Giorgia Meloni dengan menghantar pasukan pakar geologi bagi membantu pihak berkuasa tempatan meramalkan pergerakan seterusnya tanah runtuh berkenaan.
\