KUALA LUMPUR: Aduan mengenai kegiatan menyorok stok minyak masak paket bersubsidi menurun sebanyak 66.15 peratus sepanjang empat bulan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Selain itu, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh, aduan berkenaan kekurangan atau ketiadaan bekalan itu juga menurun 24.47 peratus sepanjang tempoh sama.
Tambahnya, turut menyaksikan penurunan adalah aduan berkenaan penjualan bersyarat sebanyak 6.19 peratus serta aduan berkenaan keengganan peniaga menjual stok tersebut (1.15 peratus).
Terdahulu, jelasnya, penurunan aduan-aduan itu susulan inisiatif KPDN memperkenalkan eCOSS dan Mobile eCOSS untuk memantau pengedaran minyak masak paket bersubsidi dengan lebih menyeluruh, daripada rantaian bekalan sehinggalah ke tangan pengguna.
Ujarnya, Mobile eCOSS turut menggunakan eKYC dan MyDigital ID untuk mengesahkan identiti pengguna.
“Sejak 1 Mac 2026 pula, pembelian minyak masak paket bersubsidi hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia.
“Setakat 3 Julai 2026, lebih 5.2 juta rakyat Malaysia telah berdaftar menggunakan Mobile eCOSS,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Hantaran itu sebagai maklum balas kepada komen seorang pengguna sosial yang melahirkan rasa puas hati selepas menyifatkan stok minyak masak paket bersubsidi kini boleh diperoleh dengan mudah di mana-mana kedai.
Sementara itu, Fuziah berkata, ukuran kejayaan sesuatu dasar bukan sekadar pada sistem atau angka, tetapi apabila rakyat sendiri mula merasakan bekalan lebih mudah diperoleh.
“Terima kasih atas perkongsian ini. Kita akan terus memperkemas pemantauan supaya minyak masak paket bersubsidi ini benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia yang berhak,” katanya. – PentasDaily

