Taufan Melissa Ragut Lebih 30 Nyawa di Caribbean, 25 di Haiti dan 8 di Jamaica
2 mins read

Taufan Melissa Ragut Lebih 30 Nyawa di Caribbean, 25 di Haiti dan 8 di Jamaica


PORT-AU-PRINCE, KINGSTON, HAVANA – Taufan Melissa yang mengganas di wilayah Caribbean sejak Selasa lalu mencetuskan kemusnahan besar apabila sekurang-kurangnya lebih 30 orang terbunuh di seluruh rantau itu, termasuk 25 mangsa di Haiti dan lapan di Jamaica, manakala ribuan lagi kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dibadai ribut dan banjir.

Melissa yang dikategorikan sebagai taufan Kategori 5 paling kuat pernah melanda Jamaica, membadai negara pulau itu dengan kelajuan angin mencecah 298 kilometer sejam (185 batu sejam), menurut laporan Reuters.

Ketika memasuki wilayah Jamaica pada Selasa, taufan berkenaan menenggelamkan kawasan pertanian utama di St. Elizabeth, meranapkan bumbung rumah dan memutuskan bekalan elektrik di hampir 77 peratus kawasan negara itu.

Perdana Menteri Jamaica, Andrew Holness berkata, kerosakan akibat taufan tersebut dianggarkan mencecah AS$22 bilion (RM104 bilion) dan proses pemulihan dijangka mengambil masa bertahun-tahun.

“Ia pengalaman paling menakutkan sepanjang hidup saya. Pada satu ketika, kaca jendela seperti ditembusi peluru berpandu,” kata seorang petugas di Hospital Black River yang terpaksa bekerja dalam kegelapan untuk merawat pesakit ketika ribut melanda.

Haiti: Banjir dan korban jiwa meningkat

Walaupun tidak melanda secara langsung, Haiti turut mengalami kesan buruk apabila hujan lebat berterusan selama beberapa hari menyebabkan sungai La Digue di bandar pantai Petit-Goâve melimpah dan menenggelamkan ratusan rumah.

Pihak berkuasa negara itu mengesahkan sekurang-kurangnya 25 kematian, termasuk 10 kanak-kanak, manakala 12 orang dilaporkan hilang. Lebih 12,000 penduduk kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara.

“Jika taufan ini datang di tengah segala masalah yang kami hadapi, kami mungkin tidak akan selamat,” kata seorang mangsa, Fortune Vital, yang terpisah daripada keluarganya di Les Cayes.

Gambar satelit menunjukkan kemusnahan akibat Taufan Melissa di Caribbean.

Cuba dan Bahamas turut terjejas

Taufan Melissa turut membadai bandar kedua terbesar Cuba sebelum bergerak ke arah Kepulauan Bahamas, yang melaksanakan operasi pemindahan besar-besaran melibatkan hampir 1,500 penduduk.

Setakat pukul 8 malam (waktu tempatan), Melissa menurun kepada Kategori 1 namun masih membawa angin kencang, hujan lebat serta ombak besar ketika bergerak ke timur laut merentasi kepulauan berkenaan.

Pihak ramalan cuaca AccuWeather menyifatkan Melissa sebagai taufan ketiga paling kuat dalam sejarah Caribbean serta antara yang paling perlahan bergerak, menjadikannya lebih merosakkan.

Sementara itu, penduduk di Turks and Caicos serta sejauh Bermuda kini sedang bersiap sedia menghadapi kesan lanjutan taufan yang dijangka melanda menjelang Khamis.

Bantuan dan pemulihan

Kerajaan Jamaica telah memberi isyarat “selamat” untuk memulakan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan namun masih mengekalkan pusat perlindungan awam sepanjang minggu ini bagi menampung lebih 25,000 mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

“Tiada sesiapa boleh ditolak keluar dari pusat perlindungan,” tegas Menteri Kerajaan Tempatan Jamaica, Desmond McKenzie.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *