KUALA LUMPUR: Beban hutang mencecah RM260,000 selepas isteri terjerat dalam perangkap ‘love scam’ dipercayai motif seorang lelaki bertindak luar kawalan membunuh tiga ahli keluarganya sebelum menamatkan nyawa sendiri dalam kejadian di Desa ParkCity, di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ia selepas polis menemukan sekeping nota yang ditinggalkan suspek yang juga bapa kepada keluarga berkenaan di atas meja makan kediaman mereka.
Menurut beliau, menerusi nota itu, suspek menyatakan rasa kesal terhadap isteri yang dikatakan mempunyai hubungan dengan ‘scammer’ sehingga suspek menanggung kerugian dan hutang sehingga RM260,000.
“Isteri dikatakan masih cuba menghubungi scammer berkenaan dan suspek merasakan perbuatan itu melampau dan berasa malu kepada anak-anak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Fadil mengesahkan prosedur ke atas anak perempuan pasangan itu berusia sembilan tahun selesai dijalankan pagi tadi.
“Bedah siasat selesai dijalankan hari ini pada jam 9 pagi ke atas mayat anak perempuan berusia sembilan tahun dan selesai lebih kurang jam 12 tengah hari.
“Satu liang tikaman berukuran lima sentimeter ditemui di bahagian leher si mati,” katanya.
Menurutnya, proses bedah siasat bagi mayat kedua iaitu isteri suspek akan dijalankan dengan hanya tiga proses dijadualkan selesai hari ini.
“Bedah siasat ke atas mayat suspek dijangka dijalankan esok selepas pasukan forensik HKL mengadakan lawatan ke tempat kejadian pagi esok,” katanya.
Semalam, media melaporkan lelaki maut selepas terjatuh bangunan kondominium di Desa Parkcity, Persiaran Residen, di sini, manakala isterinya dan dua anak ditemui maut dalam unit kediaman berkenaan. – PentasDaily

