KUALA LUMPUR – Pasaran hartanah Malaysia terus menunjukkan daya tahan pada separuh pertama 2026 dengan nilai transaksi melebihi RM105 bilion, didorong harga yang stabil, aktiviti pembinaan positif serta pertumbuhan beberapa subsektor.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi itu mencerminkan asas ekonomi negara yang kukuh selain langkah strategik kerajaan dalam menyokong kestabilan pasaran hartanah.
Beliau berkata demikian ketika pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2026 di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Selangor.
Menurutnya, subsektor kediaman kekal mendominasi pasaran dengan menyumbang 59.3 peratus daripada keseluruhan transaksi, manakala Indeks Harga Rumah Malaysia merekodkan pertumbuhan tahunan sebanyak 0.9 peratus.
“Aktiviti pembinaan bagi beberapa segmen termasuk harta tanah kedai, pangsapuri khidmat dan industri turut menunjukkan pertumbuhan positif,” menurut kenyataan Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, kerajaan terus memperkukuh akses rakyat kepada pemilikan rumah menerusi peningkatan jaminan kerajaan sehingga RM20 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
Kerajaan turut melanjutkan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama untuk hartanah berharga sehingga RM500,000 sehingga 31 Disember 2027.
Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2026 boleh diakses melalui portal rasmi Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

