TH Plantations Lantik Datuk Ts. Borhan Bachi Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Baharu
KUALA LUMPUR – TH Plantations Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Ts. Borhan Bachi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat itu, berkuat kuasa serta-merta.
Datuk Ts. Borhan, 59, merupakan tokoh berpengalaman luas dalam industri perladangan sawit dengan rekod perkhidmatan lebih 35 tahun merangkumi operasi kilang, logistik dan perkhidmatan korporat.
Beliau sebelum ini memegang beberapa jawatan strategik dalam Divisyen Perladangan FGV Holdings Berhad, termasuk mengawasi 214 ladang dan 66 kilang dengan kapasiti pemerahan mencecah 18 juta tan metrik setahun.
Sepanjang kariernya, beliau memainkan peranan penting melaksana program transformasi bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memacu inovasi, di samping mengetuai segmen Penyelidikan & Pembangunan (R&D), Getah dan Tenaga Boleh Baharu. Kepakarannya turut membantu memastikan setiap operasi mematuhi piawaian kelestarian serta keperluan peraturan semasa.
Sebelum menyertai FGV, Datuk Ts. Borhan pernah menerajui PUP Berhad Group of Companies sebagai CEO, yang menguruskan 26 ladang dan dua kilang.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Strategik) dari International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Pengeluaran) dari UTM Skudai serta Diploma Teknologi dan Pengurusan Pemprosesan Sawit daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Dengan pengalaman dan kepakaran industri yang mendalam, Datuk Ts. Borhan dijangka meneruskan agenda pertumbuhan mampan TH Plantations serta memperkukuh kecemerlangan operasi di semua peringkat perladangan dan kilang milik syarikat itu.