Aveta Perluas Khidmat Bantuan Begerak, Perkukuh Sokongan After Sales
KUALA LUMPUR – Aveta Motor Malaysia terus mempergiat usaha memperkukuh pengalaman pemilikan motosikal apabila mengumumkan peluasan rangkaian khidmat bantuan bergerak menerusi program Aveta Care on Wheels di seluruh Semenanjung Malaysia.
Langkah tersebut mencerminkan komitmen jenama itu dalam menyediakan perkhidmatan lepas jualan yang lebih pantas, mudah diakses serta diyakini, sekali gus memastikan penunggang mendapat bantuan tanpa mengira lokasi.
Menerusi peluasan ini, Aveta mengintegrasikan pengedar Preferred Plus terpilih ke dalam rangkaian khidmat bantuan bergerak, membolehkan perkhidmatan profesional disampaikan lebih dekat kepada pelanggan. Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan tempoh motosikal tidak dapat digunakan, malah meningkatkan ketenangan fikiran sepanjang tempoh pemilikan.
Bagi memperkukuh keupayaan respons, Aveta kini memiliki enam unit khidmat lepas jualan bergerak hasil kerjasama dengan rangkaian pengedar tersebut. Pertambahan ini membolehkan liputan lebih meluas serta masa tindak balas yang lebih singkat.
Perkhidmatan sokongan termasuk bantuan di lokasi dan penyediaan motosikal ihsan turut ditawarkan oleh pengedar terlibat, memastikan pelanggan menikmati pengalaman yang lebih lancar dan konsisten.

Di wilayah utara, KW Keat Wei Motor bertanggungjawab meliputi Kedah termasuk Alor Setar, selain Perlis. Sementara itu, CKT Motor memperluas perkhidmatan ke Sungai Petani serta kawasan sekitar merangkumi Pulau Pinang dan Perak.
Bagi kawasan selatan pula, NG Brothers Motor menyokong penunggang dari Simpang Renggam hingga Johor Bahru dan kawasan berhampiran.


Kesemua usaha ini digerakkan melalui kerjasama erat bersama pengedar Preferred Plus, sekali gus memperkukuh keupayaan Aveta dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi secara konsisten di setiap titik sentuhan pelanggan.

Program ini turut disokong oleh pasukan servis dalaman Aveta yang terus beroperasi di kawasan tengah, Melaka dan Pantai Timur, menjadikan liputan perkhidmatan lebih menyeluruh di seluruh negara.
Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Motor Malaysia, Steven Lim berkata, peluasan rangkaian itu dilaksanakan sepenuhnya demi kepentingan pelanggan.
“Pemilikan motosikal tidak berakhir selepas pembelian. Ia turut melibatkan keyakinan terhadap sokongan yang diterima setiap hari.
“Melalui kerjasama bersama pengedar Preferred Plus, kami memastikan perkhidmatan lebih mudah diakses, responsif serta menepati keperluan sebenar pelanggan,” katanya.
Menurutnya, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan Aveta dalam membina ekosistem pemilikan yang menyeluruh dan berteraskan pelanggan.
Dengan gabungan kepakaran dalaman serta jaringan pengedar dipercayai, Aveta bukan sahaja memperluas rangkaian perkhidmatan, malah meningkatkan nilai keseluruhan pengalaman pemilikan motosikal.
Seiring perkembangan jenama itu di pasaran tempatan, Aveta kekal komited bukan sekadar menawarkan produk berkualiti, tetapi turut memastikan pelanggan menikmati sokongan berterusan, kemudahan dan keyakinan setiap kali berada di jalan raya.
Sebarang pertanyaan atau bantuan boleh disalurkan menerusi talian Aveta Careline di 012-503 5409.