Forum M&A 2026 Kembali Lebih Besar, Kuala Lumpur Jadi Tumpuan Pelabur Serantau
1 min read

Forum M&A 2026 Kembali Lebih Besar, Kuala Lumpur Jadi Tumpuan Pelabur Serantau

KUALA LUMPUR – Forum Pasaran Modal & Penggabungan dan Pengambilalihan (M&A) 2026: Edisi Malaysia dijangka kembali dengan skala lebih besar apabila berlangsung di Equatorial Plaza (EQ) pada 7 Mei ini.

Penganjur, ARC Group memaklumkan forum edisi keempat itu disasarkan menjadi yang paling berimpak setakat ini, dengan jangkaan penyertaan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan syarikat itu, acara berkenaan akan menghimpunkan pemimpin kanan daripada pelbagai sektor termasuk pelabur, penasihat undang-undang dan pemain industri dari seluruh Asia Tenggara.

“Forum ini menyediakan platform eksklusif kepada pengasas, eksekutif tertinggi, pelabur dan penasihat profesional untuk bertukar pandangan, membina rangkaian strategik serta meneroka peluang pertumbuhan dalam persekitaran kewangan global yang semakin saling terhubung,” katanya.

Tambahnya, penganjuran tahun ini akan memberi tumpuan lebih mendalam terhadap strategi pertumbuhan, pembentukan modal serta peluang pelaburan rentas sempadan di peringkat Asia dan global.

Forum berkenaan turut menampilkan ucaptama serta sesi panel yang dipimpin tokoh industri, termasuk Hiren Krishnani dari Nasdaq yang akan berkongsi pandangan mengenai kesiapsiagaan penyenaraian awam (IPO) serta strategi menembusi pasaran modal antarabangsa.

Selain itu, perbincangan akan menyentuh peranan Asia Tenggara yang semakin berkembang sebagai hab pelaburan rentas sempadan dan penciptaan nilai jangka panjang.

Penganjuran kali ini juga dilihat membina momentum kejayaan edisi 2025 yang berjaya menarik lebih 500 eksekutif kanan, sekali gus memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai antara pusat penting dalam landskap pasaran modal serantau.

Forum tersebut secara tidak langsung memperlihatkan komitmen berterusan ARC Group dalam menyokong ekosistem kewangan negara serta menghubungkan syarikat tempatan dengan peluang modal antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *