KUALA LUMPUR: Seorang lelaki etnik Rohingya ditahan selepas didapati memandu kereta jenis Honda Civic Type R tanpa lesen memandu yang sah.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayag Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL), Hamidi Adam berkata, lelaki berkenaan ditahan dalam Operasi Khas Luxury di Plaza Tol Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) di sini, hari ini.
Menurut beliau, kenderaan tersebut dikesan bergerak secara berkonvoi ke Genting Highlands bersama beberapa kenderaan lain di Plaza Tol SPE sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu yang sah.
“Susulan itu, indakan sitaan diambil terhadap kenderaan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, lelaki berkenaan mendakwa dia merupakan pekerja kepada pemilik kenderaan tersebut dan berkonvoi bersama pemilik kenderaan berkenaan.
Ujarnya, majikan lelaki terbabit ketika itu memandu Nissan GT-R dan membenarkan lelaki terbabit membawa Honda Civic Type R.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamidi berkata, dalam operasi selama tiga hari bermula Selasa hingga semalam, JPJ WPKL menyita 23 kenderaan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Jelasnya, antara kenderaan lain yang turut disita ialah Ferrari F8; Porsche Macan; Land Rover Range Rover Sport; BMW; Mercedes-Benz; Audi; Volvo dan Toyota Alphard.
Menurutnya, sebanyak 96 notis turut dikeluarkan sepanjang operasi tiga hari tersebut dengan 39 kes membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh; 30 kes tiada perlindungan insurans; tiga kes tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan satu kes mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain.
“Sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Luxury bagi tahun ini sehingga hari ini, sebanyak 179 kenderaan telah disita JPJ WPKL.
“Selain itu, sebanyak 179 notis penyitaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dikeluarkan, menjadikan jumlah keseluruhan 572 notis bagi pelaksanaan Operasi Khas Luxury sepanjang tahun ini,” katanya. – PentasDaily

